Didalam Al-Quran terdapat ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa AS sebagaimana tersebut di dalam Surah Al-Maryam Ayat 25 yang bermaksud :
"Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.."
Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah SWT memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemas selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unsur zat besi dan kalsium telah mebuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung didalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.
Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak dan pembentukan darah serta sum-sum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.
Berdasarkan ini juga, Baginda Rasulullah SAW mengalakkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas yang bermaksud :
"Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum menunaikan solat. Sekiranya tiada kurma, maka Baginda Rasulullah SAW akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, Baginda meminum beberapa teguk air" - Hadis Riwayat Ahmad
Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menggalakkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud :
"Rasulullah SAW berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih."
Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma ialah :
Daripada Adiy bin Hatim yang bermaksud "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda 'Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma'."
Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.
Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya diwaktu pagi sebelum memulakan sebarang tugasan harian. Khasiat buah kurma juga adalah sesuai dan baik untuk pertumbuhan kanak-kanak.
Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment